Keropok lekor atau keropok batang merupakan sejenis makanan
tradisional pantai timur Semenanjung Malaysia, khususnya di Terengganu yang
terkenal. Keropok diperbuat daripada isi ikan laut dan campuran sagu dan
sedikit garam. Terdapat juga keropok yang dicampurkan dengan tepung kanji.
Keseluruhan ramuan tersebut akan diuli dan digentel panjang bertali, sebelum
direbus didalam air panas.Kandungan ikan yang tinggi menjadikan keropok lekor
sebagai makanan berprotin tinggi yang kaya dengan iodin semulajadi.Keropok
lekor boleh dimakan segar sebaik sahaja diangkat dengan dicicah air lada (sos
cili) yang pedas. Pada masa ini, pembuatan keropok lekor telah pun tersohor di
beberapa negeri lain selain Terengganu.Keropok lekor biasanya tidak tahan lama.
Bagaimanapun, sekiranya hendak disimpan dengan lebih lama, keropok lekor
hendaklah dibalut dengan plastik dan diletakkan di tempat sejuk beku bagi
mengelakkan baunya mencemari makanan lain. Apabila hendak dimakan, ia perlu
dibasuh dan direbus semula dengan air yang dicampurkan sedikit garam, sekiranya
tidak keropok berasa tawar.Selain daripada dimakan segar, keropok lekor juga
boleh dipotong pendek dan digoreng sekali lagi bagi menghasilkan keropok yang
lebih rangup. Keropok lekor yang dicampur dengan tepung kanji biasanya lebih
rangup apabila digoreng, tetapi akan bertukar menjadi liat apabila sudah sejuk.
Keropok lekor yang menggunakan campuran sagu tidak akan menjadi liat walaupun ia
sudah sejuk selepas digoreng.Keropok lekor juga boleh diproses dengan lebih
lanjut untuk dijadikan keropok keping. Keropok lekor yang telah direbus akan
dipotong nipis-nipis dan dijemur untuk dijadikan kepingan-kepingan keropok
kering yang dikenali sebagai keropok keping. Keropok keping ini akan menjadi
kembang apabila digoreng dalam minyak yang panas dan ia amat sedap apabila
dimakan dengan sos cili.
No comments:
Post a Comment